Soalan-soalan Lazim berkaitan Komuniti PERWANI
  1. Apakah kelebihan menyertai program Komuniti PERWANI 1Malaysia?
    1. Ahli Komuniti PERWANI 1Malaysia boleh  menentukan sendiri aktiviti yang hendak dijalankan mengikut keperluan masyarakat setempat. Bagi memupuk kepimpinan di kalangan wanita di peringkat akar umbi, ahli Komuniti PERWANI berpeluang untuk merancang, dan melaksanakan sendiri aktiviti yang dirasakan bersesuaian dan diperlukan di dalam masyarakat setempat.

  2. Saya sudah memegang jawatan di dalam Persatuan, adakah boleh saya juga menjadi Pengerusi Komuniti PERWANI di taman/ kampung saya?
    1. Boleh. Puan boleh memegang apa-apa jawatan lain sama ada di mana-mana persatuan, kelab, majlis dan sebagainya.  Jabatan menggalakkan kepimpinan dipupuk di kalangan wanita yang berpotensi walaupun sekiranya mereka masih belum memegang apa-apa jawatan sebelum ini.

  3. Berapa kali program boleh dilaksanakan pada tahun ini?
    1. Aktiviti Komuniti PERWANI 1Malaysia boleh dilaksanakan sekurang-kurangnya dua (2) kali bagi setiap komuniti pada tahun 2013. Ahli Komuniti boleh melaksanakan aktiviti tanpa menggunakan peruntukan sedia ada ataupun dengan melaksanakan kerjasama dengan mana-mana agensi/ syarikat.

  4. Adakah boleh saya membantu pendaftaran Komuniti PERWANI bagi wanita lain yang tiada akses kepada internet?  
    1. Tidak Boleh. Puan hanya boleh mendaftarkan Komuniti PERWANI Puan SENDIRI sahaja. Setelah berdaftar, puan boleh melihat aktiviti yang dijalankan oleh ahli Komuniti PERWANI yang lain, memohon pelaksanaan aktiviti bagi Komuniti yang telah puan daftarkan, dan seterusnya melaporkan aktiviti-aktiviti yang telah dilaksanakan oleh komuniti tersebut.

  5. Bolehkah saya membuat pendaftaran Komuniti PERWANI tanpa nombor kad pengenalan semua ahli komuniti yang hendak didaftarkan?
    1. Tidak Boleh. Jabatan mewajibkan pengisian nombor kad pengenalan bagi setiap ahli Komuniti PERWANI, bagi memastikan tiada individu berdaftar di dalam lebih daripada satu (1) Komuniti PERWANI.

  6. Adakah dibenarkan sekiranya beberapa Komuniti melaksanakan satu (1) aktiviti bersama?
    1. Boleh.

  7. Program/ aktiviti bagaimanakah yang paling digalakkan oleh Jabatan?
    1. Jabatan menggalakkan aktiviti kesukarelawanan yang membawa manfaat kepada masyarakat setempat, khususnya manfaat kepada ahli Komuniti itu sendiri. Aktiviti yang boleh meningkatkan peluang untuk ahli Komuniti PERWANI untuk menjana pendapatan tambahan amat digalakkan. Contohnya adalah taklimat pemasaran produk atas talian yang dapat membantu ahli Komuniti untuk menceburi bidang perniagaan walaupun dari rumah sendiri.

  8. Bagaimanakah caranya untuk saya menonjolkan aktiviti-aktiviti yang telah Komuniti PERWANI saya laksanakan?
    1. Melalui laman web sosial, ahli Komuniti PERWANI boleh “tag” Komuniti PERWANI 1Malaysia;
    2. Di Facebook, sila “LIKE” page “Komuniti PERWANI”, dan seterusnya tag “Komuniti PERWANI” di mana-mana gambar aktiviti yang telah dijalankan;
    3. Di Twitter, sila “FOLLOW” “@KomunitiPERWANI” dan sila tag di post aktiviti yang telah dijalankan; dan
    4. Di Instagram, sila “FOLLOW” “komunitiperwani” dan tag di gambar aktiviti yang telah di “post” kan.

  9. Bolehkah aktiviti-aktiviti yang dilaksanakan turut disertai oleh ahli keluarga, ahli masyarakat setempat lain yang bukannya ahli kepada Komuniti PERWANI saya?
    1. Boleh. Bagi memanfaatkan masyarakat di kawasan setempat Komuniti PERWANI tersebut, penyertaan ahli masyarakat yang lain amat digalakkan.

  10. Bolehkah saya membuat program di hotel dan sebagainya?  
    1. Tidak digalakkan. Aktiviti PERWANI berkonsepkan NBOS mengenengahkan penjimatan kos, penggunaan infrastruktur sedia ada, dan kerjasama antara pelbagai pihak;
    2. Oleh yang demikian, amatlah digalakkan sekiranya aktiviti yang dilaksanakan melibatkan kos yang paling minimum atau tiada kos langsung. Contohnya, aktiviti peningkatan kemahiran menggunakan komputer boleh dilaksanakan di mana-mana Rural Transformation Center (RTC) atau Urban Transformation Center (UTC) yang berdekatan tanpa sebarang kos untuk sewaan tempat.

Bahagian Pembangunan Kapasiti (BPK),
Jabatan Pembangunan Wanita (JPW),
Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).